Twitter hadkan mesej boleh dibaca pemilik akaun dalam sehari
MEDIA SOSIAL | NEW YORK: Pengguna Twitter, buat sementara waktu, hanya diberi akses terhad untuk membaca kandungan akaun media sosial itu dalam sehari, dalam usaha mengekang syarikat memiliki kecerdasan buatan (AI) menggunakan data media sosial itu.
Pemiliknya, Elon Musk, menjelaskan batasan sementara terhadap jumlah ciapan yang pengguna dapat baca dalam sehari terhad pada 600 kandungan bagi pemilik akaun yang belum memperoleh pengesahan status atau verified account (VA), lapor AFP pada 2 Julai 2023.
Manakala bagi pemilik akaun baharu dan belum menerima VA pula, terikat pada 300 kandungan saja.
Menurut Musk, pengenalan batasan sementara itu dibuat bagi mengatasi isu 'peningkatan ketara pemindahan data dan manipulasi sistem'.
Beliau bagaimanapun tidak pula menjelaskan maksud di sebalik manipulasi sistem dalam konteks itu dan pemindahan data pula pada dasarnya merujuk kepada proses maklumat yang diambil dari sesebuah laman sesawang serta dipindahkan ke program lain.
"Data kami dirompak sehingga menjejaskan perkhidmatan kami. Langkah terbaru yang diambil oleh Twitter ini adalah 'tindakan darurat sementara'," kata Musk.
Kebanyakan kes 'pencurian data' itu dilakukan syarikat yang menggunakannya untuk membina model AI masing-masing, yang menurut Musk, menyebabkan 'kesesakan' di laman sesawang Twitter.
Bagi menghasilkan AI yang boleh berinteraksi seperti manusia, kebanyakan syarikat menggunakan kandungan perbualan sebenar antara pengguna akaun media sosial sebagai asas bank data AI masing-masing.
"Ratusan pertubuhan atau lebih banyak lagi, yang 'mencuri' data kandungan Twitter secara agresif sehingga ia menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna Twitter.
"Ini dilakukan oleh syarikat pemula sehinggalah syarikat korporat terbesar global, mereka mencuri begitu banyak data," katanya.
Sebelum Twitter, gergasi media sosial, Reddit, turut berdepan masalah sama di mana pengguna pihak ketiga mencuri kandungan daripada forum dalam talian.
Susulan itu beberapa pengguna Twitter yang sudah mencapai had ciapan mula menghantar mesej 'Goodbye Twitter' atau Selamat Tinggal Twitter, sehingga ia menjadi ciapan paling banyak diikuti.
Sehubungan itu, Twitter mengumumkan akan 'secepat mungkin' menaikkan had kepada 8,000 ciapan sehari bagi pemilik akaun yang disahkan, 800 ciapan bagi akaun tidak disahkan dan 400 ciapan bagi akaun baharu belum disahkan.
Musk bagaimanapun, tidak memaklumkan sehinggan bila peraturan ini akan dikuatkuasa.
Dilabel dengan tanda biru (blue-tick), status akaun VA pada awal pengenalannya diberikan secara percuma kepada pemiliknya sebelum Musk mengambil alih pemilikan syarikat pengendali akaun media sosial itu.
Namun kini, sebahagian besar daripada pengguna harus membayar membiayai langganan yang bermula dengan AS$8 (RM37) setiap bulan hanya untuk mendapat VA dan berpeluang memperoleh status itu tanpa perlu profil mereka diperhatikan.
Pada Oktober tahun lalu, Musk yang tersenarai sebagai individu terkaya di dunia, membeli Twitter pada harga AS$44 bilion (RM191.73 bilion).
Selepas mengambil alih Twitter, pemilik syarikat kenderaan elektrik Tesla itu mengurangkan jumlah kakitangan syarikat itu daripada 8,000 kepada sekitar 1,500 orang saja.
Sumber - AFP
Comments
Post a Comment